Wednesday, April 6, 2011

Bengkel Pengurusan Risiko (JHA) di Makmal Pengajaran dan Peralatan Jabatan Biologi Fakulti Sains 2011

Jabatan Biologi telah menganjurkan sebuah bengkel bertajuk Bengkel Pengurusan Risiko (JHA) di Makmal Pengajaran dan Peralatan Jabatan Biologi Fakulti Sains 2011 pada 28 Mac 2011 (Isnin) dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Biologi.

Seramai 23 orang pegawai makmal jabatan telah hadir pada bengkel tersebut yang dimoderator oleh Pegawai Sains Jabatan Biologi, Encik Hidir Hashim dan Cik Ainaa Abdul Kahar sebagai fasilitator bengkel. Bengkel ini bertujuan bagi mendedahkan dan memberi pengetahuan mengenai risiko dan bahaya yang dihadapi oleh setiap pegawai makmal dalam melaksanakan proses kerja harian di makmal masing-masing serta cadangan langkah kawalan yang boleh diambil bagi menyingkirkan atau mengurangkan risiko kemalangan. Bengkel ini juga dilaksanakan bagi memenuhi keperluan seperti yang diarahkan oleh Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM iaitu Laporan Lengkap JHA bagi setiap proses/aktiviti di makmal pengajaran dan peralatan di Jabatan.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta didedahkan dengan cara melaksanakan Laporan JHA bagi proses kerja yang mereka lakukan di makmal masing-masing. Setelah melengkapkan Laporan JHA masing-masing, peserta diminta membentangkan hasil perbincangan mereka kepada ahli bengkel dan komen membina diberikan bagi tujuan penambahbaikan Laporan JHA. Penyertaan yang sangat menggalakkan daripada setiap ahli bengkel membuahkan hasil output yang positif bagi setiap peserta bengkel.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pegawai makmal Jabatan Biologi yang telah hadir ke bengkel ini dengan jayanya. Laporan JHA yang lengkap telah dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Risiko Fakulti Sains, Encik Mohamad Johadi Iskandar Che Jamil. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas buat Warga Biologi di atas komitmen dan usaha yang diberikan bagi melengkapkan Laporan JHA Jabatan Biologi. Tidak dilupakan kepada pihak sekretariat dan penganjur yang bertungkus lumus memastikan kelancaran bengkel ini. Hasil usaha dan komitmen semua pihak sangatlah dihargai.

Semoga usaha baik dan komitmen yang cemerlang ini akan berterusan di kalangan Warga Biologi. Sekali lagi, ucapan tahniah, syabas dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini.